Iklan

18 October 2010

Bjan masuk paper...



Sukarela selamat nyawa
Lali urus mayat dalam keadaan mengerikan

Oleh SHAMRAN SARAHAN
shamss@hmetro.com.my

 

MENYAKSIKAN tragedi bencana alam, kemalangan dan kebakaran di kaca televisyen pasti mengundang rasa sedih dan menyayat hati, apatah lagi jika ia membabitkan kematian ngeri, bilangan kematian yang ramai dan kanak-kanak.

Jika begitu perasaan orang yang melihatnya dari jauh, bagaimana pula agaknya sanubari orang yang melihatnya dari dekat?

Hakikatnya, ia lebih dahsyat daripada disangkakan, malah mengakibatkan pelbagai saat duka seperti kesedihan, fobia dan trauma yang sukar difahami menimpa mangsa.

Itu antara pengajaran berguna diperoleh sukarelawan berpengalaman, Noor Amali Mahat, 30, sejak menyertai Persatuan Bomba dan Penyelamat Sukarela Malaysia (MVFRA) pada 1999, bahkan pernah berbakti menyumbang kudrat dan tenaga membantu mangsa bencana alam di Iran, Acheh dan China



KERJASAMA ... sukarelawan MVFRA ketika misi kemanusiaan gempa bumi di China



Bagi Amali, pengalaman menyertai MVFRA melakukan kerja sukarela di pelbagai negara itu juga memberi kesedaran betapa penting menghargai ‘nyawa’ seseorang.
Amali berkata, selama menjadi sukarelawan dia juga sudah lali menangani dan menguruskan mayat mangsa yang mati dalam keadaan menakutkan, namun menganggap pengalaman itu sangat berguna bagi menguatkan azam menjadi sukarelawan walaupun tidak menerima apa-apa imbuhan.


HULUR BANTUAN .. MVFRA turut ,emyubang bantuan makanan untuk diberkan kepada mangsa bencana alam



“Ketika gempa bumi di China awal tahun lalu, saya antara sukarelawan yang terbabit dalam operasi mencari mangsa dan membantu mangsa terselamat yang masih fobia dan trauma.

“Pelbagai kematian ngeri yang saya lihat, malah ada tempat membabitkan kematian ramai kanak-kanak di sebuah sekolah. Bayangkan bagaimana saya lalui keadaan itu?

“Namun pengalaman banyak mengajar dan menguatkan saya,” katanya yang juga berkhidmat sebagai pembantu pengurusan di syarikat swasta.

Amali berkata, menghadapi keadaan itu bukan saja menginsafkan diri, malah dia berasa perlu memberi ‘harapan’ kepada mangsa terselamat yang melalui saat paling ‘menakutkan’ dalam hidup mereka, iaitu ketika bertarung dengan ajal dan maut.

“Saya sudah melihat pelbagai tragedi, kesukaran seseorang yang trauma dalam tragedi sebenarnya hanya dapat dibantu dengan memberi harapan kepada mereka.
 

“Apabila pergi ke tempat begini, saya selalunya pastikan diri saya ‘gembira’ dan tidak bersedih supaya mangsa yang ada bersama saya bersemangat untuk terus hidup.

“Namun saya akui ini saat paling sukar dilaksanakan,” katanya yang berasal dari Keramat, Kuala Lumpur.

Rakannya, Teresa Lim, 30, yang menjadi sukarelawan MVFRA sejak 1997, berkata peluang menyertai pertubuhan sukarela itu bukan saja mengundang rasa ‘seronok’ membantu orang, malah pengalaman dan pengetahuan dimilikinya turut 

membantu hidup harian, terutama jika ditimpa masalah.



“Pernah ketika dalam perjalanan, saya melihat satu kemalangan. Dengan pengetahuan yang saya ada mengenai pertolongan kecemasan, saya segera membantu.

“Saya lakukan apa yang patut ketika itu, dalam masa sama saya seronok dapat membantu. Saya tidak sekadar menjadi pemerhati, sebaliknya menjadi orang yang membantu,” katanya yang berasal dari Kuala Lumpur dan juga pegawai pengiklanan dan pemasaran di syarikat swasta.

Menurutnya, minat menjadi sukarelawan bermula sejak di bangku sekolah kerana pernah mengalami peristiwa pahit apabila tidak dapat membantu seorang rakan yang ditimpa ‘bencana’, iaitu rumah roboh akibat tanah runtuh.

“Rakan menghubungi saya untuk meminta bantuan. Saya tergamam kerana tidak tahu berbuat apa-apa. Ketika ke tempat kejadian, saya hanya melihat pihak berkuasa menghulurkan bantuan kepada keluarga rakan.

“Sejak itu saya bertekad ingin menjadi orang yang boleh membantu orang lain. Kebetulan, tiga daripada enam adik beradik menyertai MVFRA. Mereka yang memberi galakan, dan selepas sekolah saya mengikuti jejak mereka,” katanya yang turut terbabit dalam misi kemanusiaan di Acheh dan sukarelawan menghulur bantuan makanan ketika Taufan Nargis, Myanmar.

Sementara itu, Ramzan Sudin, 28, yang baru setahun menjadi sukarelawan bersama MVFRA, berkata tugas sukarela itu sering menghadirkan pengalaman tidak disangka tapi sangat berguna dan mungkin dapat diperoleh orang lain.



 

SEMANGAT .. Amali (dua dari kiri) nersama Ramzan (kiri), Noordin (kanan), dan Teresa mengemas peralatan rawatan kecemasan dlam ambulans MVFRA.


KEMAS .. Ramzan mengemas peralatan keselamatan di pejabat MVFRA.



Manakala Noordin Malib, 39, yang menyertai MVFRA sejak lima tahun lalu menganggap menjadi sukarelawan sebagai kepuasan yang tidak dapat dibeli dengan wang ringgit.
 

Katanya, dia bersama rakan sukarelawan pernah membantu seorang mangsa ragut yang ditikam bertubi-tubi di sekitar Kuala Lumpur yang nazak dan kehilangan banyak darah.

Katanya, ketika itu mangsa sudah nyawa-nyawa ikan dan hanya menunggu ajal tiba.

“Benar kata orang, berpantang maut sebelum ajal. Kami sempat membantu mangsa berkenaan dan akhirnya dia selamat. Menariknya, selepas beberapa bulan, mangsa datang berjumpa kami untuk mengucapkan terima kasih, selain turut mengadakan jamuan untuk kami semua.

“Menjadi sukarelawan begini bukan saja memberi kepuasan, malah saya rasa dihargai,” katanya yang berasal dari Teluk Intan, Perak dan bertugas sebagai pegawai keselamatan di syarikat swasta.



"Ada menyertai sukarelawan ini untuk daptakan elaun, bahkan ada yang hanya ingin baju kemeja percuma. ini pemikiran takuk lama yang patut dibuang"
> K. Balasupramaniam
    Pengerusi MVFRA


Bagi pengasas MVFRA, K Balasupramaniam, 34, walaupun sudah lama menerajui pertubuhan sukarelawan itu, sambutan masyarakat mengenai aktiviti sukarela masih dingin, malah ramai ingin menyertai aktiviti itu semata-mata untuk mendapat habuan tertentu.

“Ada yang menyertai aktiviti sukarelawan ini untuk dapatkan elaun, bahkan ada yang hanya ingin sertai untuk mendapat baju kemeja percuma.

“Ini pemikiran takuk lama yang patut dibuang. Menjadi sukarelawan untuk membantu orang bukan saja mendapat keseronokan dan kepuasan, tetapi boleh dijadikan hobi yang memberi pengalaman tidak ternilai,” katanya yang menjalankan operasi MVFRA di No 32, Jalan Wirawati 6, Taman Maluri, Kuala Lumpur, selain boleh dihubungi melalui laman web, www.mvfra.org

No comments: